Saturday, May 14, 2011

AKHLAK YANG AGUNG

Bagi seorang Muslim, akhlak yang terbaik ialah seperti yang terdapat pada diri Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam keran sifat-sifat dan perangai yang terdapat pada dirinya adalah sifat-sifat yang terpuji dan merupakan uswah hasanah. Iaitu contoh tauladan terbaik bagi seluruh kaum Muslimin. Allah subhaanahu wa taaala sendiri memuji akhlak Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam di dalam Al-Quran sebagaimana firmanNya:
Dan sesungguhnya engkau (Muhammad) benar-benar berakhlak agung. (Al-
Qalam:4).
Dasar akhlak Islamiah yang terkandung didalam risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W. Risalah itu bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah yang dimanifestasikan oleh perbuatan dan cara hidup Rasulullah sendiri. Perilaku dan cara hidup Rasulullah ini menjadi ikutan dan tauladan untuk kesempurnaan hidup manusia sama ada dari segi jasmani mahupun rohani.
Untuk mencapai tahap kesempurnaan peribadi yang mulia itu, Allah telah membekalkan manusia dengan persediaan semulajadi iaitu dengan berbagai- bagai naluri dan akal fikiran serta dihiasi pula dengan berbagai-bagai ilmu pengetahuan yang boleh menjadi pedoman hidup demi kepentingan membina tamadun di muka bumi ini.
Oleh kerana kelemahan akal dan keterbatasan menjangkau aspek alam, baik alam realiti mahupun alam ghaib, Allah menurunkan wahyuNya sebagai hidayah mutlak untuk digunakan oleh manusia dalam membina kehidupan dan tamadun serasi dengan nilai-nilai akhlak yang mulia. Di sinilah letaknya peranan risalah yang dibawa melalui Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bertujuan untuk membentuk satu dasar akhlak yang mulia dan bersifat mutlak untuk keperluan seluruh manusia.